kekuatan dan kebolehan jin dan syaitan-
RATA-RATA manusia beranggapan jin dan syaitan mempunyai kekuatan dan kebolehan luar biasa yang mengatasi keupayaan manusia. Anggapan ini adalah salah. Dalam kisah yang terkenal mengenai Nabi Sulaiman (a.s.) membuktikan manusia lebih hebat dari jin Ifrit. Mengapa jin dan syaitan jadi pekerja Nabi Sulaiman (a.s.)?.
Anggapan manusia yang lebih jauh kesilapannya ialah anggapan bahawa jin dan syaitan tahu perkara-perkara yang ghaib, kejadian-kejadian yang telah berlaku, sedang berlaku dan yang akan berlaku. Inilah yang mendorongkan para pawang, bomoh, tukang tilik bersahabat dengan mereka (jin dan syaitan) dengan tujuan agar mereka (para pawang dan lain-lain itu) dapat melakukan tilikan ramalan yang diperlukan oleh orang ramai.
Jin dan syaitan dapat mengetahui perkara yang telah berlaku, akan berlaku, sedang berlaku dari perbualan para malaikat yang ada di sekitar kawasan di bawah langit pertama dan juga di muka bumi ini. Syaitan Marid tidak boleh naik ke langit lagi sesudah Nabi Muhammad dilahirkan.
Allah SWT berfirman Maksudnya:
”Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap syaitan yang derhaka. Dengan itu mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru. Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus.”
(Surah as-Saaffaat: Ayat 7-8)
Sebenarnya jin dan syaitan tidak tahu yang ghaib, kecuali jin-jin tertentu yang selalu memohon kepada Allah. Kerana itu jin-jin yang menjadi sahabat manusia misalnya, pawang tidak tahu di mana simpulan sihir ditanam.
Jin dan iblis itu sebenarnya tidak tahu yang ghaib. Seperti yang berlaku jin-jin nabi Allah Sulaiman tidak tahu nabi Sulaiman telah meninggal dunia (wafat) sehinggalah tongkatnya reput dimakan anai-anai.
Firman Allah SWTMaksudnya:
”Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.”
(Surah Saba’: Ayat 14)
Sebahagian daripada jin itu setengahnya bodoh, lebih bodoh daripada manusia. Contohnya:
1) Jin dihambakan oleh manusia dengan pelbagai suruhan.
2) Jin ditipu oleh manusia, contohnya: Jin disuruh menunggu tumbuhnya sesuatu benda yang mustahil akan tumbuh misalnya, batu atau kacang hijau atau bijian yang telah digoreng.
Tolong menolong antara jin dan manusia memang berlaku. Tetapi tolong menolong itu dilarang oleh Allah SWT. Allah berfirman Maksudnya:
”Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): ”Wahai sekelian jin! (Syaitan-syaitan), sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada manusia.” Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: ”Wahai Tuhan kami, sebahagian dari kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari akhirat) yang Engkau tentukan bagi kami.” (Allah berfirman): Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-An’aam: Ayat 128)
Syaitan menjadi musuh manusia, begitu juga jin-jin yang jahat. Tetapi permusuhan mereka dengan cara persahabatan. Disebut di dalam al-Quran ”Tazzyin”, yang salah diperlihatkan betul, yang buruk diperlihatkan cantik dan sebagainya.
Dalam al-Quran semua manusia Allah jadikan mangsa tipu daya iblis, kecuali orang-orang yang ikhlas. Mereka yang bersahabat dengan jin dan iblis sebenarnya telah tertipu dan terpedaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan